::Hakcipta Terpelihara 2010; kampung Talang Dalam Kenangan::. Dikuasakan oleh Blogger.

Isnin, 12 Ogos 2013

Pertemuan di Aidilfitri...

Rumah terbuka yang diadakan di rumah Sdr. Asri pada 10 Ogos 2013 (raya ketiga) memang agak meriah. walaupun kehadiran group TTL tidaklah seramai kehadhiran pada program-program yang diadakan sebelum ini, namun suasana kemesraan jelas tergambar pada setiap wajah-wajah mereka.

saya sendiri niat asalnya nak datang lebih awal. namun tak dapat berbuat begitu kerana dirumah mertua ada majlis keduri arwah, cukur jambul dan majlis pertunangan adik ipar yang diadakan serentak. mahu tak mahu terpaksa akur sehingga majlis selesai. jam 4.00 pm baru bergerak dari parit Buntar (rumah mertua) ke Pulau Pinang (Rumah sdr Asri) ditambah dengan keadaan jalan raya dimusim perayaan ini, faham-fahamlah....

Begitu juga dengan Ust Fahmi, Dikhabarkan keretanya terlibat dengan kemalangan jalanraya beberapa hari sebelum Aidilfitri. dia sendiri tak dapat menghadiri program yang sepatutnya diterajui olehnya.

Jutaan terima kasih kepada Tuan rumah, Sdr Asri, tukang masak pada hari itu, Sdr Danial yang balik awal (tak sempat nak jumpa) dan kawan-kawan yang membantu menyediakan juadah, sdr Rozali, Sdr Yusuf, bro Badruddin dan bro Musofri, sdr Din Deran dan lain-lain...

Sesuatu yang agak berlainan hari itu pada saya adalah 'tazkirah santai' dari Sdr Yusuf atau nama 'maya'nya CIKGU TOI... walaupun ramai sahabat-sahabat yang balik kerana mempunyai komitmen masing-masing, namun cikgu Toi menghidupkan suasana dengan 'tazkirah' ringkasberkaitan makrifatullah.

Sdr Junaidi yang kelihatan 'mamai' (mungkin terlalu banyak makan daging kambing) sejurus melabuhkan punggungnya di bangku, ternganga mendengar bait-bait ayat dari Sdr Cop yang sedang berhujah kemas...

Tak semena-mena Fadlullah sampai sekeluarga. insyaallah ada masa dan kelapangan, program seperti ini wajar kerap diadakan pada masa-masa yang akan datang. namun perlu diingat, mungkin diantara kita berbeza pendapat dan keadaan ekonomi. justeru itu perjumpaan seperti ini tidak harus dikaitkan dan dibangkitkan perkara-perkara yang berkaitan dengan ediologi masing-masing. dan tidak perlulah terlalu menonjolkan 'kelebihan' masing-masing kerana dikhuatiri akan ada peserta yang malu nak datang, maklumlah mungkin malu  dengan kekurangan  berbanding dengan rakan-rakan yang lain.

Akhir kata, saya selaku admin ingin memohon ampun dan maaf pada semua rakan-rakan dan pembaca blog ini seandainya masih ada sisa-sisa kesalahan dan kesilapan dimasa lampau, bak kata ust Fahmi, biar kita settle di dunia daripada ditanya diakhirat kelak.

 wallahualam..
 
Bro Musofri dan Sdr Junaidi berebut peha kambing


last2 dapat juga kat Sdr Junaidi


"hang pa jangan dok buat berebut no, ini kambing ana yang punya.." mungkin itu yang dikatakan oleh Sdr Danial kepada Sdr Junaidi dan Bro Zalie


Kami hanya insan yang tak punya daya kekuatan, Hanya pada-MU Ya ALLAH kami berserah. satukanlah hati-hati kami, rapatkanlah silaturrahim di antara kami...




* hanya gambar ini yang dapat disiarkan, ini pun diambil pada FB Sdr Junaidi, pada yang ada koleksi gambar-gambar yang ada kaitan dengan TTL, boleh PM ke FB saya. Jangan post gambar perempuan sudahlah..

Rabu, 25 April 2012

Pelarian Yang Gagal

Cop menyingkap pengalaman beliau melarikan diri dari sekolah.

Malam kian larut, kedengaran bunyi cengkerik sahut menyahut menandakan cuaca malam ini mungkin baik dan tidak hujan... "jom bergerak, cepat!!!" tersentak Zudin yang sejak tadi mengelamun memikirkan rentetan strategi yang diatur sejak lebih seminggu yang lalu untuk lari dari sekolah walaupun dia tahu cuti semester kedua akan tiba kurang dari sebulan akan datang, sesekali rasa menyesal timbul di sanubarinya kerana setuju dan mengikut rancangan yang di atur oleh Cop. “cepat la sikit Din, satgi ustaz sampai, mampuih la kita tak dan lepaih” bentak Cop agak marah kerana melihat Zudin masih tercegak di balik pokok asam yang rimbun bersempadan dengan parit yang memisahkan tanah miik MARDI dan tanah asal milik Tok Zaman Shah yang diwakafkan untuk dijadikan sekolah di perkampungan Talang ini.
Zudin bingkas bangun mengikut langkah yang di atur rakan-rakan ‘sepasukannya’ . Dengan gerak penuh berhati-hati, tubuh yang agak dibongkokkan, persis seperti sepasukan komando mengatur strategi untuk menyerang musuh seperti yang pernah diceritakan oleh Ustaz Haris kepadanya beberapa bulan yang lalu. Sesekali terasa megah dan hebat pula rasanya. Langkah yang diatur begitu berhati-hati takut-takut pergerakan dapat dikesan oleh ustaz, memandangkan sinar lampu sportligt lebuhraya menjadikan seluruh kampong terang benderang bagai di stadium negeri.

“ooppss, beghenti sat!” Cop member arahan. “pasaipa pulak beghenti tang sini, kita tak sampai lagi jalan besaq ni” Azhar mencelah. Mereka saling berpandangan, jika bukan Azhar yang bersuara bernada bantahan mungkin berderau juga darah Cop. Maklumlah, dengan status pelajar senior yang digelar pendekar, rasanya tidak mudah mana-mana pelajar membantah arahan darinya. Zudin teringat gossip yang melanda Cop, ‘mungkin ada benarnya’ bisik hati kecil Zudin teringatkan gossip yang mengatakan Azhar adalah adik angkat Cop… “ya la, tu pasai aku beghenti sini, kita nak ambik tiket kt Taiping atau kat kuala, kalau hangpa nak ambik tiket kt Taiping, kita ambik jalan Kuala Dal, tapi kalau nak ke Kuala, kita ikut Jalan belakang nu…” terang Cop panjang lebar. Fadli yang sejak tadi mendiamkan diri mula bersuara “ aku ghasa kita naik keghetapi ja daghi kuala, lagipun aku mana ada duit nak beli tiket bas, mak aku bagi kemaghin pun aku tak dan nak cucuk lagi”.“ok,ok.. kita ikut kuala, naik kegheta api” Cop member keputusan yang muktamad.. semak samun diredah, segala parit dan sungai direntasi, matlamatnya hanya satu… kebebasan dan cuti awal. Setelah sekian lama berjalan, akhirnya sampai juga mereka ke jalan besar. Dengan tidak semene-mena Cop Menjerit “Din tahan bas tu!!” terkejut Zudin dengan jerkahan Cop yang melampau itu, dengan emosi yang bercampur antara penat, letih dan marah, akhirnya lega kerana rancangannya berjalan lancar…

Di Surau, Ustaz Sufian sedang duduk bersembang dengan Ustaz Kamaruzzaman, topik yang dibualkan seperti sangat menarik. Fahmi sedang duduk berwirid di bawah pokok kayu hanya memandang gelagat Ustaz Sufian dan Ustaz Kamaruzzaman lesu. Dari jauh terlihat lampu kenderaan mirip Van Ustaz Mansor. Fahmi semakin tajam memerhati. Bukannya dia minat sangat dengan Van c22 vanette ustaz Mansur pun, jika nak tiap minggu dia boleh merasa bawak van ayahnya yang jauh lebih canggih dari van Ustaz Mansor tu. Sesekali hatinya tertanya-tanya. Mengapa Ustaz Mansur memandu dalam keadaan tergesa-gesa begini… Mungkin ada sesuatu perkara berlaku yang menyebabkan emosinya terusik, hati Fahmi mengagak.

“bawak van tu elok-elok la sikit, dah la van tu buat pi market, van tu jugak bawak pelajar pi masjid, ni kigha salahguna harta jemaah ni” gerutu Ustaz Sofian sayup-sayup kedengaran sejurus Ustaz Mansor menarik brek tangan. “hang jangan dok tunjuk cekap la, aku dok selalu kluaq bawak pelajar ORD pun tak tunjuk macam hang” Ustaz kamaruzzaman menambah. “hang nak kata apa hang kata la, ni aku nak habaq kat hang, tadi aku Nampak cop,Zudin dang geng dia dok kat pekan kuala,aku ghasa depa nak laghi kut, aku tanya depa sengap tak jawab. aku tahan dia suruh dia naik van ikut aku balik. Dia tak mau, dok sengap ja” cerita Ustaz Mansur agak terketar-ketar. “habih, awat hang tak bawak depa balik” Tanya Ustaz Sofian. “hang nak mampuih, aku dah la soghang, lagi pun aku jenih tak suka paksa-paksa oghang ni” jawab Ustaz Mansor penuh helah. “kata tukang, haghi-haghi dok bawak hammer, cangkoi, gergaji tapi takut.. la ni hang habaq kat Ustaz Fahimi, dia tu otai sikit” Ustaz Kamaruzzaman memberi cadangan.

Fahmi yang sejak tadi memerhati bingkas bangun mendapatkan Asri yang sedang duduk di kesamaran malam di depan gerai. “awat hang dok kalut ni Fahmi, nak blanja aku makan roti segaq ka” Asri menyapa memulakan bicara. Dalam keadaan lapar tahap sederhana seperti itu, memang Asri sangat mengharapkan Fahmi membelanjanya makan sekurang-kurangnya sekeping roti jenama ‘segar’ yang menjadi kesukaannya sejak mula menjejakkan kaki di sekolah ini. Sejak ia mula bersekolah di kampong talang, Asri mula mengenal lapar. Bukan sebelum ini tidak pernah merasai kelaparan, namun kampong Talang menjadikan asri membahagikan kelaparan dalam 3 tahap, lapar tahap kritikal, tahap sederhana dan tahap biasa. Untuk mengenal seseorang yang lapar bagi Asri tidak sukar, Asri akan memerhatikan waktu mereka makan. Biasanya magi mereka yang mengalami simtom lapar melampau ini akan menggunakan ‘gear 5’ dan berlumba ketika makan nasi, Pemenangnya akan dapat ‘kepala ikan’ dan diberi tugas membasuh dulang (talam). “Asri! Cop laghi sekolah” luah Fahmi sejurus menghampiri Asri. “aku tau lama dah” jawab Asri selamba. “hang ni Derek tau, macam mana hang bulih tau? Awat hang tak habaq kat ustaz?” bertalu-talu soalan Fahmi ajukan penuh persoalan. “saja aku tak habaq, kalau aku habaq pun ustaz boleh buat apa, Cop tu jenih Oghang yang suka laghi, biaq la dia laghi. Hang terai tengok, tiap-tiap kali nak cuti mesti dia laghi, ala biaq la.. aku malaih nak campoq la..” Asri menjawab. Fahmi jadi lebih keliru dengan perangai rakannya itu. Bukan dia tidak suka, bahkan bagi Fahmi, Asri adalah salah seorang rakan atau sahabat yang sempurna untuk dirinya. Namun dalam hal ini Fahmi jadi keliru dengan tindakan rakannya yang digelar ‘mantop’ oleh kawan-kawan sekelasnya itu…

Di pekan Kuala Kangsar kumpulan pelajar yang lari dari sekolah itu menjadi agak tegang, salah menyalahkan antara satu dengan yang lain dilihat semakin ketara. Mereka menjangkakan ‘pasukan yang besar’ pasti akan dihantar dalam misi untuk mencari mereka setelah terserempak dengan Ustaz Mansur tadi. Oleh yang demikian, strategi yang lebih kemas dan tindakan yang lebih teratur harus dilakukan demi mencapai misi yang dilihat menjadi lebih mencabar. Azhar yang sejak tadi kurang bersuara, memulakan bicara “ok, kita dah beli tiket pukoi 11, mau tak mau kita kena tunggu keghetapi. Aku ghasa sebelum keghetapi sampai, kita sembunyi dulu” “ok,ok baguih idea hang tu..” Cop memuji.

Operasi mencari diteruskan, Ustaz Mansur hairan. Jejak Pelajar tak dapat dikesan “ini bukan sebarangan orang” bisik hati kecil Ustaz Mansor. “Ustaz Fahimi, hang pi belah stesen keghetapi, mana tau depa naik keghetapi. Ustaz azri pi belah stesen bas” Ustaz sofian member arahan.Ustaz Sofian dan Ustaz Mansor menaiki van membuat rondaan sekitar Pekan Kuala Kangsar. “kita milik Allah, sebagai hamba Allah kita harus melihat untuk apa Allah Izinkan setiap perkara itu berlaku. Pastinya tersembunyi hikmah disebaliknya. Dan dalam melaksanakan ikhtiar juga tidak harus lari dari syariat Allah. Jangan gunakan kekerasan terhadap pelajar” teringat Ustaz sofian pesanan Ustaz Rahim sebentar tadi sebelum keluar memulakan operasi ini.
Ustaz Fahimi menghampiri stesen keretapi sambil matanya liar memerhati sekeliling. “setau aku budak-budak ni bukan anak Mc Giver pun, tapi pasai pa cekap sangat sampai susah aku nak caghi” hati Ustaz Fahimi berkata-kata. Kaki yang sejak tadi tidak henti-henti berjalan tanpa arah, kini melintasi surau stesen keretapi. Ustaz Fahimi menjeling rak kasut, Cuma ada sepasang saja, itu pun kasut berjenama. “takkanlah anak mughid aku apakai kasut jenih ni, setau aku depa ni pakai selipar jepun ja” bisik hatinya.

Ustaz Fahimi terus berjalan, sesekali dia berhenti di kaunter tiket stesen keretapi “cik puan, keretapi ke utara pukul berapa ye?” kejap lagi dik sampai, bertolak pukul 11.30 malam” jawab penjual tiket pertengahan usia itu. Sambil ekor matanya melirik kearah ustaz Fahimi yang beserban turki dan berjubah kelabu lusuh itu. Ustaz Fahimi lantas melihat jam jenama ‘seiko’ di tangannya “masyaALLAH, dah pukoi 11.10,” dalam keadaan tergesa-gesa begitu kakinya terhenti… fikirannya melayang mengingati kisah sewaktu masih bergelar pelajar di Sg Ular Pahang. Waktu itu Ustaz Fahimi pun ‘nakal’ juga. Asal ada pogram saja pasti dia akan cabut. Dan untuk tidak mahu dikesan ustaz yang memeriksa di asrama, Ust fahimi akan menyorokkan kasut agar Ustaz yang memeriksa asrama menyangka tiada orang di dalam asrama. “sah, pasti budak-budak ni ada kat surau, kalau dak di mana lagi” bisik hati kecilnya penuh yakin. Sambil berlari anak ustaz Fahimi berpatah balik ke surau stesen keretapi, danpenuh berhati-hati dan perlahan Ustaz fahimi menunggu saja di hadapan pintu. Beliau sangat pasti pelajarnya pasti ada didalam surau itu, dan pelajarnya pasti menggunakan taktik yang sama seperti yang pernah dilakukan dulu.

Sambil melihat jam ditangannya, Ustaz fahimi bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlaku. tiba-tiba pintu surau dikuak, hati Ustaz Fahimi berdebar kencang berbaur marah. “mana hang nak laghi hah!!!” sergah ustaz fahimi. Azhar yang menyangka keadaan selamat, terkejut beruk sehingga terlepas selipar jepun jenama BATA di tangannya… yang lain tak terkata apa-apa. Mahu tidak mahu terpaksa menyerah. Ustaz Fahimi bertindak pantas merampas semua dompet pelajar-pelajarnya bagi menggagalkan rancangan mereka terus… di dalam hati zudin timbul kekesalan bercampur benci. Baginya rancangan hebatnya digagalkan buat kali kedua oleh insan yang dikenali sebagai Ustaz Fahimi….

Sabtu, 24 Disember 2011

::Top-up::

Inilah penginapanku sewaktu menuntut ilmu suatu ketika dulu... Ketika itu, mungkin ada kesalahan dan kesilapan yang telah ku lakukan, dan aku khuatir ia bakal melenyapkan sisa2 amalanku yg sedikit ini... maafkan aku..

“Maaf, baki anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan..”
Kita sering saja mendengar perkataan ini daripada operator telefon apabila kita kehabisan kredit. Selalunya, kita ingin membuat panggilan, lebih-lebih lagi kepada yang tersayang, apabila mendengar perkataan ini keluar dari telefon, kita akan berasa kecewa dan terus bergegas mencari bekalan ‘topup’. Kita akan memastikan bahawa kredit kita sentiasa penuh. Tetapi, pernah tidak kita aplikasikan ini kepada sesuatu yang lain?

Realiti:

Cuba kita bayangkan. Suatu hari, satu suara berkata kepada kita, “Maaf, pahala anda tidak mencukupi untuk membolehkan anda masuk ke syurga”. Pernah tak kita berfikir seperti itu? Bayangkan di hari kebangkitan nanti, perkataan seperti itu diucapkan kepada kita. Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu? Apakah kita masih boleh men’topup’ pahala kita di saat pahala amalan kita yang terlampau sedikit ini dihitung.

Bayangkan rasa kecewa yang menyelubungi diri kita, melebihi segala kekecewaan kita gagal dalam peperiksaan di dunia, kecewa dalam interview, kecewa dalam kerja, kecewa dalam percintaan dan segalanya. Kita selalu menangis apabila kita kehilangan sesuatu yang amat berharga kepada diri kita. Tetapi, pernah tidak sekali kita menangis mengenangkan dosa-dosa silam kita?

Pernah tidak kita mendengar kisah-kisah para alim ulama’, tabi’ tabii’n dahulu yang menangis mengenangkan dosa mereka yang sedikit? Sedangkan kita? Dosa kita terlalu sedikitkah berbanding mereka yang menyebabkan terlalu sukar untuk kita menitiskan air mata. Tetapi apabila kekasih kita meninggalkan kita, sampai bengkak mata kita menangis. Betapa lemahnya iman kita.

Rabu, 21 Disember 2011

:: ISLAM MELARANG UMATNYA BERDO'A UNTUK MATI ::

Majlis bacaan Al-Quran (kalau tak silapla), yang diadakan di surau, Kg Talang tahun 1993

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah.”
(H.R.:- Al-Bukhari dan Muslim)

- Huraian:

» Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita-cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.

» Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.

» Islam tidak membenarkan umatnya bercita-cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita-cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

" Ya Allah wahai Tuhan kami, panjangkanlah usia kami di dalam mentaati-MU.
Sihatkan tubuh badan kami, terangkan hati kami dlm Islam, murahkanlah rezeki kami zahir dan batin.Hampirkanlah kami kepada kebaikan dan jauhi kami daripada kejahatan zahir batin. Tunaikan segala hajat kami mengenai urusan agama,dunia dan akhirat."
" Ya Allah wahai Tuhan kami, hidupkanlah kami dlm keadaan beriman dan matikanlah kami dlm keadaan beriman dan masukkanlah kami ke syurga-MU dlm keadaan beriman (dgn rahmat-MU)."

إن شــآء الـلَّــه تـعـالـى ... آمـيـن يـا اللَّـه
وصلَّى اللهُ على سـيِّدنا محـمد وعلى آلـه وصـحـبه أجـمـعـين

وآخـرُ دَعْـوَنَـا أنِ الْـحـمـد للّـهِ ربِّ الْـعَـالَـمِـيْن

Selasa, 20 Disember 2011

:: Jiwa-jiwa Merindui Akhirat ::

Semoga akan lahir pejuang hebat dikalangan sahabat-sahabatku...

Kini, ketika dunia sedang menyaksikan penindasan
berterusan ke atas umat Islam dan gerakan Islam, kita mengharapkan Allah
melahirkan seorang lagi pemimpin Islam yang hebat seperti Umar Abdul Aziz.

Tidak adakah seorang dikalangan umat Islam kini yang mampu
mengembalikan maruah Islam setelah dirobek-robek oleh Amerika, Britain, Israel,
Perancis dan sekutu mereka di Palestin, Afghanistan, Iraq, Mindanao, Chechnya,
Kashmir dan mencetuskan konspirasi di negara-negara Asia Tenggara seperti yang
berlaku pada hari ini seperti di Selatan Thai, Ambon, Indonesia dan sebagainya.

Sudah tibakah masa yang dijanjikan Allah, apabila umat
terdahulu diuji dan dicuba lantas berkatalah Rasulullah dan orang-orang yang
beriman bersamanya: "Bilakah akan datangnya pertolongan Allah?" lalu
Allah berfirman: "Ketahuilah, pertolongan Allah semakin hampir.”

Petikan ucapan terakhir Hassan al Banna dalam muktamar di
hadapan para pemimpin muslimin yang diadakan di Mekah al Mukaramah:

"wahai saudara-saudara,
Tahukah kamu kenapa kita tertinggal jauh ke belakang dari
salafus soleh? Sesungguhnya satu sahaja jawapannya dan tiada duanya. Ini kerana
kita berpaling dari Al-Quran dan tidak melakukan segala apa yang dibawa oleh
Rasulullah SAW.

Ketahuilah bahawa muslim akan hanya merasa bahagia di
alam nyata apabila mereka menjadikan Al-Quranul Karim sebagai perlembagaan
hidup dan perlembagaan mereka. Terimalah amanat dari aku: "Sesungguhnya
Allah tidak akan menolong orang-orang fasik yang berpaling tadah dari agama
mereka dan melalui jalan syaitan nir rajim. Di hari kita kembali kepada
pangkuan Al-Quran dan sunnah yang suci, di hari itulah kita akan melihat
pertolongan Allah SWT terpampang di hadapan mata kita."

Hassan al Banna r.a tatkala menjelaskan sifat-sifat
peribadi seorang mujadid (pembawa perubahan) mengatakan:

"Aku mampu membayangkan al mujadid itu sebagai
seorang laki-laki yang sentiasa membuat persiapannya, menyediakan bekalannya,
mampu menguasai fikirannya yang memenuhi segenap sudut jiwanya dan segenap
jurusan hatinya, dia sentiasa berfikir, menumpukan perhatian yang sepenuhnya
terhadap persiapan terus- menerus.
Apabila di seru dia menyahut, apabila di panggil dia
menjawab, pulang dan perginya, perkataan dan bicaranya, kesungguhan dan
gurauannya tidak melampaui bidang yang disediakan untuk dirinya. Dia tidak
mengambil tugas selain dari yang telah diletakkan oleh kehidupan dan
tuntutannya ke atasnya dan berjihad di jalannya.
Kamu dapat membaca pada garis wajahnya dan melihat pada
kilauan matanya dan mendengar deru gerakan lidahnya segala yang apa yang
bergelora di dalam hatinya sama ada dari hawa yang melekat, kesakitannya yang
terpendam, segala keazaman yang benar dan bersungguh-sungguh, cita-cita yang
tinggi dan matlamat yang jauh yang sentiasa memenuhi jiwanya."

Rabu, 14 Disember 2011

Buat Sahabatku...



Assalamualaikum.....
Syukur kepada ALLAH s.w.t kerana masih memberi peluang kepada saya untuk terus berada di bumi ALLAH dan mengecapi nikmat iman dan islam. Semoga hari-hari yang mendatang, dapat diri ini terus beribadah kepada ALLAH. AMIN...

Untuk post kali ini, saya tujukan khas buat semua sahabat-sahabat saya. Diri ini, amat merindui kalian semua. Di harapkan, semoga kita semua sentiasa berada di bawah redha ALLAH..

Atas nama kasih sayang.....
Kita dipertemukan....
Atas kehendak ILLAHI.....
Setiap butiran rindu itu milik kita bersama....
Dan apapun dugaan yang melanda.....
INSYALLAH,kasih sayang kita kekal mewangi selamanya..
Andai suatu hari nanti kita ditakdirkan untuk berpisah....
Kenangilah setiap detik-detik kita bersama....
Selagi kita berada di bumi ALLAH...
Tiada ungkapan perpisahan antara kita....
Semoga hati kita sentiasa bertaut kerana ALLAH...
TAUTAN HATI hanya untuk ALLAH s.wt....
Semoga persahabatan kita akan berkekalan.....
AMIN YA RABB..♥ ^_^

Poll

About This Blog




  © Free Blogger Templates Skyblue by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP